Bil. 32/2024
1. Merujuk kepada isu Global Ikhwan
Services and Business Holding Sdn. Bhd. (GISBH) dan bidang kuasa JAKIM
untuk mengambil tindakan terhadap Kumpulan berkenaan, selaras dengan
peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI)
di mana JAKIM sebagai sekretariat yang melaksanakan fungsi MKI bagi
menyembah nasihat kepada Majlis Raja-raja apa-apa perkara berkenaan
perundangan Islam, pengurusan hal ehwal Islam dan pendidikan agama Islam
bagi maksud menambah baik, menyelaras dan menggalakkan keseragaman
undang-undang atas kepentingan negara.
2. JAKIM juga adalah merupakan agensi
persekutuan bagi pengurusan hal ehwal Islam bertanggungjawab dalam
penyelarasan dan penyeragaman perundangan serta pandangan hukum bagi
sesuatu isu di kalangan masyarakat Islam.
3. Dalam konteks berkaitan GISBH,
tindakan telah dimulakan pada bulan Februari 2019 dengan 12 mesyuarat,
bengkel, Task Force, program kenegaraan telah dilaksanakan terhadap isu
ini yang turut melibatkan agensi keselamatan negara iaitu Majlis
Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian
Dalam Negeri (KDN). Satu pertemuan tertutup dengan pihak GISBH telah
diadakan pada bulan September 2019 melibatkan Pengerusi Jawatankuasa
Muzakarah MKI, Jabatan Peguam Negara, Panel Pakar Akidah JAKIM serta
Panel Pakar Tasawuf JAKIM. Pertemuan ini telah membincangkan isu
berkaitan GISBH melalui sesi dialog dengan cadangan penyelesaian yang
bersesuaian.
4. Pada Julai 2022, Mesyuarat Khas
bersama Agensi Keselamatan Negara termasuk MKN, PDRM dan KDN telah
diadakan bagi tujuan penyelarasan isu berkaitan. Ianya disusuli dengan
beberapa perbincangan pada bulan Ogos 2024, Program Kem Kenegaraan
Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH kali ke-2 serta dialog dengan pihak
GISBH pada 22 September atas dakwaan penyelewengan akidah yang masih
diamalkan seterusnya disusuli dengan perbincangan bersama NADI MAIS dan
Jabatan Mufti Negeri Selangor.
5. Pada Februari 2023, Mesyuarat Khas
Panel Pakar Akidah mengenai isu GISBH diadakan melibatkan NADI, Bahagian
Ancaman Ekstrimis Sosial E2, Cawangan Khas PDRM serta pertemuan dengan
bekas pengikut GISBH disamping program kenegaraan kepada RPU diteruskan
anjuran PDRM dan iLead, KBS pada Oktober 2023. Seterusnya pada Februari
2024, satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISBH diadakan bagi
mengkaji lebih mendalam isu isu akidah, syariah dan tasawuf dalam
GISBH.
6. Hasil kajian dan dapatan ini akan
dibentangkan dalam Muzakarah MKI dan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM)
seterusnya memohon perkenan Majlis Raja Raja sebelum difatwakan di bawah
bidang kuasa negeri-negeri bagi tujuan penguatkuasaan. JAKIM konsisten
mengadakan dialog, program dan kajian mendalam mengenai isu ini dan
tidak berkompromi dengan isu-isu yang melibatkan akidah umat Islam.
Sekian.
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA 14 September 2024 / 10 Rabiulawal 1446
No comments:
Post a Comment