Sunday 25 May 2014

GISB & Ummu Jah kini...

13 Mei Puan Ibu Hatijah Aam kembali ke tanah air selepas diusir oleh kerajaan Arab Saudi atas kesalahan overstay. Selama hampir tiga tahun di Haramain, Puan Ibu Hatijah telah berjaya meletakkan namanya dalam kelompok elit di Mekah.
Jemaah umrah dari Malaysia dan Indonesia terutamanya yang sempat menziarahi projek-projek GISB waktu itu, juga sangat kagum dan terharu kerana adanya seorang wanita Melayu yang mampu mengendalikan sebuah empayar perniagaan di sana.
Menjelang 31 Ogos, Puan Ibu Hatijah Aam mencapai persetujuan dengan Jabatan Agama Islam Selangor untuk bertaubat dan mematuhi fatwa. Persetujuan dan pematuhan yang dicapai telah mencipta satu jalinan erat antara GISB dan JAIS.
Pada hari kedua Aidil Adha iaitu pada 16 Oktober, satu majlis penuh tertib, meriah dan indah berlangsung di Bandar Country Homes, Rawang. Majlis kasih sayang dan ramah mesra GISB bersama JAIS diikuti acara pelupusan bahan dilarang fatwa. Peristiwa dan ciptaan sejarah yang menakjubkan.
Sejak kepulangan Puan Ibu Hatijah Aam ke Malaysia, beliau giat mengemaskinikan syarikat dan sebuah yayasan peninggalan suaminya yakni Global Ikhwan Sdn Bhd dan Yayasan Kebajikan dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia.
Yayasan Kebajikan dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia disegarkan dengan langkah pengstrukturan semula pentadbiran dan operasinya ditambah lagi dengan imej baru yang lebih komprehensif.
Pelancaran dan perasmian YKPPM di era baru akan diadakan di sebuah dewan berprestij di Ibu Kota dan akan dirasmikan oleh seorang kenamaan yang tidak asing lagi bagi masyarakat di Ibu Negara.
GISB yang dulunya hanya sebuah syarikat kecil tetapi 'gah' kini telah dinaiktarafkan kepada GISB Holdings Sdn Bhd dengan gabungan beberapa anak syarikat. Global Ikhwan Sdn Bhd sekarang hanyalah merupakan salah sebuah daripada anak syarikat yang bernaung di bawah GISB Holdings Sdn Bhd.
Kemampuan menerajui dan mengendalikan dua institusi berdaftar dan beroperasi secara sah menurut undang-undang Malaysia, Puan Ibu Hatijah Aam telah dilihat sebagai seorang tokoh wanita yang mempunyai prinsip yang begitu kukuh dan berjiwa kental.
Keupayaan beliau dilihat bukan sahaja kerana memiliki idea, pemikiran yang tajam, kepimpinan dan wawasan yang jelas dan jauh ke hadapan, tetapi banyak pihak mengakui beliau mempunyai kekuatan rohani yang begitu ampuh.
Setiap perjumpaan bersama Ahli Lembaga Pengarah juga dengan rakan-rakan kongsi lainnya, perkara paling penting ditekankan ialah persoalan takutkan Allah dan rindu kepada Rasulullah.
Kesungguhan membina rasa hamba dan ciri-ciri khalifah dalam team pengurusan dan juga staf di semua peringkat menjadikan GISB Holdings Sdn Bhd dan Yayasan Kebajikan dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia memiliki kekuatan yang luar biasa berbanding syarikat perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan lain.
Ramuan atau resepi  inilah yang menjadi formula rahsia sepanjang perjalanan syarikat yang diasaskan oleh Allahyarham Ustaz Ashaari ini. Puan Ibu Hatijah Aam yang menyambung usaha suaminya itu telah mengekalkan pendekatan dan kaedah yang sama bagi menjamin keberkesanan operasi syarikat dan yayasan.
Apa yang menariknya ialah, sejak kepulangan Puan Ibu Hatijah Aam ke bumi berkat ini, GISB Holdings dan YKPPM telah dirisik dan cuba dilamar oleh beberapa pihak. Pihak yang datang merisik dan melamar itu pula bukanlah datang dari kalangan syarikat kecil-kecilan atau yang baru menetas.
Beberapa orang kenamaan telah datang mewakili pihak yang berkepentingan di arena ekonomi kebangsaan dan rantau Asia. Mereka datang dengan berbagai tawaran dan peluang perniagaan. Pihak JAIS pula contohnya mempelawa diadakan kerjasama dalam hal-hal kebajikan dan ketaqwaan.
Melihat senario ini, spontan hati lalu menduga apakah semua yang berlaku hanyalah secara kebetulan atau sebenarnya dirancang secara teliti dan berhati-hati oleh pihak-pihak tertentu?
Ia! Tidak ada yang berlaku secara kebetulan melainkan semuanya dalam perencanaan Tuhan. Mungkinkah juga terdapat kuasa-kuasa ekonomi atau politik yang sedang meneropong GISB Holdings dan YKPPM dengan perhatian yang begitu cermat?
Puan Ibu Hatijah Aam sebenarnya lebih sinonim dengan panggilan Ummu Jah. Nama daftarnya ialah Hatijah binti Aam. Tetapi dulu lebih popular dengan Khadijah Aam iaitu nama yang digandingkan dengan suaminya, Ustaz Ashaari Muhammad pada hampir setiap judul buku sebagai penulis bersama.
Ummu Jah adalah nama yang tidak asing lagi dipersada negara, bahkan juga di luar negara. Setelah tiga tahun permergiaan suaminya, beliau masih mampu bertahan dalam gelombang badai dunia perjuangan melalui paltform perniagaan seperti mana semasa beliau bersama suaminya.
Keutuhan jiwa yang dimiliki oleh Puan Ibu Hatijah ini tentulah mengundang rasa cemburu oleh para pesaingnya, apatah lagilah musuh-musuh beliau. Namun dalam masa yang sama, tentu ada pihak yang lebih cerdik dan bijaksana sedang mengintai dan mengamati kelebihan ini.
Pada masa yang sama, negara pula sedang menghadapi kepincangan dan kebobrokan dari semua aspek seperti ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan budaya.

Tidak mustahil pasukan tertinggi pentadbiran negara sedang meneliti dari semua aspek, apakah formula atau rahsia kekuatan GISB Holdings yang dulunya dikenali dengan Al Arqam boleh menjadi alternatif sebagai jalan keluar kepada masalah negara.
Andaian atau telahan ini bukan sekadar omongan kosong, tetapi sangat didasari oleh sumber-sumber yang kukuh. Sejak lama, MARA yang merupakan agensi kerajaan dalam pembangunan masyarakat bumiputera telah sangat mengakui perkara ini.
Biro Tata Negara yang suatu ketika dulu merupakan agen doktrin pemikiran nasionalis Melayu juga tidak mahu terkecuali dalam mengkagumi kecekapan Al Arqam dalam menyelaraskan kefahaman dan keyakinan seluruh ahli gerakkan mereka.
Maka tidak hairanlah jika Puan Ibu Khadijah adalah merupakan seorang balu atau janda kaya yang sedang dicermati oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam skrip perjuangan Rasulullah SAW ada watak heroin terkenal bernama Khadijah rha, juga merupakan seorang bangsawan, cendikiawan cuma ianya janda kaya.

Tidak mustahil di arena politik tanah air dan antarabangsa yang jelas sedang menuju kejatuhan di mana-mana sekarang ini, mungkin juga terdapat watak heroin yang seakan sama. Hanya Allah Yang Maha Tahu.

Sementelahan pula Ummu Jah, GISB Holdings Sdn Bhd dan YKPPM sudah kembali kepada masyarakat dan negara melalui langkah mematuhi fatwa dan sedia bekerjasama dengan mana-mana jabatan, agensi atau pihak berwajib.

Sumber:

3 comments:

  1. Assalammualaikum. Bagaimamna mohon bantuan melalui YKPPM.

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikum. Bagaimamna mohon bantuan melalui YKPPM.

    ReplyDelete
  3. Assalammualaikum. Bagaimamna mohon bantuan melalui YKPPM. saya boleh dihubungi di0193889399

    ReplyDelete