Sunday 25 May 2014

Sedikit Coretan Hasil Kursus Pemantapan Akidah

Yang Berbahagia Puan Ibu Hatijah Aam
Sejak kembalinya para kepimpinan Syarikat GISB Holdings dari kursus di Jelebu selama dua minggu itu, saya telah beberapa kali berpeluang menghadiri majlis penerangan yang disampaikan kepada para pekerja GISB Holdings. Menyelinap masuk di kalangan mereka adalah suatu yang mudah, kerana bekas-bekas anggota jemaah Global Ikhwan ini tiada bezanya cara berpakaian dengan masyarakat umum, terutama yang wanita. Ini antara coretan yang saya sempat catatkan.
1) Untuk menghadiri majlis penerangan yang diadakan di Segambut, Kuala Lumpur pada suatu hari, saya bertolak dari Shah Alam dengan menumpang kereta rakan pekerja tetap Syarikat GISB Holdings sekitar jam 6.30 petang, sebab majlis bermula sekitar jam 9.00 malam. Kebiasaan amalan anggota bekas jemaah adalah mereka akan bersolat jamak Maghrib dan Isyak setibanya di Segambut kerana masalah kesesakan jalanraya akan menyebabkan terluputnya waktu Maghrib di perjalanan. Perjalanan yang mengambil masa 30-36 minit (info Google Maps) boleh menjadi hampir 2 jam atau lebih kerana masalah kesesakan, kalau ikut highway dengan tempoh selama itu, boleh sahaja kita sampai ke Melaka atau Ipoh. Namun, disebabkan mematuhi fatwa mazhab Imam Syafie yang dianuti majoriti kita, perjalanan kurang dari dua marhalah, walaupun mengambil masa seolah-olah melebihi dua marhalah perjalanan, kami berhenti di surau Kampung Melayu Subang untuk solat Maghrib. Kemudian setibanya di Segambut, kami pun bersolat Isyak (kami tiba setelah solat Isyak berjemaah selesai), sekitar 9.00 malam. Penganjur kursus di Jelebu sangat menekankan mematuhi fatwa yang biasa diamalkan masyarakat awam, terserlah kecintaan mereka, para ulama pada agama Islam, inilah yang wajib diikuti semua peserta kursus. Untungnya Malaysia kerana masih ramai para ulama kita mempertahankan akidah ASWJ. Di sudut feqahnya sangat mempertahankan Mazhab Syafie.

2) Semasa di Jelebu, pihak penganjur yang prihatin, dikeranakan telah mendapat aduan dari team veteran anggota bekas jemaah Arqam yang sudah lama bekerjasama penuh dengan pihak berwajib, maka program menghalau jin (exorcism) telah menjadi satu agenda. Sebelum kursus bermula, program ini menjadi keutamaan supaya segalanya berjalan lancar.
Kamera video siap terpasang untuk dijadikan bahan bukti kepada para anggota Syarikat GISB bahawa dalam keadaan tidak sedar, makhluk-makhluk halus yang didakwa mendampingi mereka akan terserlah.
Program ini dikhaskan selama dua hari supaya cukup masa mengendalikan apa sahaja kemungkinan yang dikhuatiri bakal berlaku. Dan dakwaan yang paling ramai didampingi jin tentulah Ibu Hatijah Aam sendiri. Ustaz pakar yang ditugaskan merawat mengarahkan para peserta supaya jangan membaca apa-apa ayat pendiding. Semua disuruh memejamkan mata. Disebabkan jadual kursus yang padat dan meletihkan, para peserta menutup mata dengan selesa hingga lama kelamaan tertidur sementara set ayat-ayat Ruqyah yang panjang dibacakan hingga tiga kali pusingan. Alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku dan ini sangat membuka mata para penganjur yang sangat berpuas hati. Bermakna dakwaan sesetengah pihak itu tidak benar.
3) Paling menakjubkan ialah komitmen para peserta kursus. Biasanya kursus hanya selama sehari, atau 2,3 hari. Kalau seminggu pun seseorang sudah tidak mampu kerana jadualnya terlalu padat. Bermula qiamullail, solat Subuh, kuliah Subuh, riadhah pagi, kuliah sesi pagi, sesi dhuha hingga ke Zohor kemudian makan dan solat; kuliah lagi hingga Asar, solat Asar dan riadhah, makan malam, solat Maghrib, kuliah Maghrib, solat Isya dan kuliah malam higga jam 11 malam. Bukannya calang-calang orang boleh lakukan. Alhamdulilah, para peserta taat menurut perintah penganjur, sangat berdisiplin. Walau Qiam dijadualkan jam pukul 5, tetapi peserta datang awal; sembahyang banyak serta berzikir. Pihak penganjur berpuas hati dengan disiplin peserta.


Cara Menyusun Kasut Yang Tinggal kenangan : sekarang kasut dikehendaki disusun sebagaimana masyarakat awam menyusun kasut.
4) Satu lagi hal yang ditegur para penganjur adalah disiplin menyusun kasut oleh peserta kursus yang menjadi seperti satu identiti bekas-bekas anggota Global Ikhwan. Kebiasaannya, setibanya di satu premis, badan akan dipusingkan untuk membelakangkan premis, dan kasut disusun dengan menghadap keluar. Amalan ini telah dirintis oleh Almarhum Ustaz Ashaari sejak sekian lama. Tujuannya adalah supaya mudah keluar dari premis, terus sarungkan kasut dan pergi. Juga mengelakkan kita terpijak tanah. Tetapi pihak penganjur dengan penuh prihatin menegur amalan ini, kerana ia tidak sesuai diamalkan di surau atau masjid. Sehabis tiba di masjid, seharusnya adab yang baik adalah jangan membelakangkan masjid. Jadi kasut hendaklah disusun dengan bahagian hadapannya menghadap premis. Begitulah telitinya pihak penganjur supaya bekas ahli Global Ikhwan dapat betul-betul bersatu dan tiada beza dengan ahli masyarakat lainnya. Walau adab ini ditegur untuk premis surau atau masjid, sekarang ia diamalkan di semua premis syarikat GISB Holdings, oleh kerana patuhnya.
5) Di Bandar Country Homes Rawang, terdapat sebuah masjid yang dekat dengan penempatan GISB Holdings. Elok sangatlah jika semua masyarakat berkumpul di masjid. Sudahlah masyarakat yang pergi ke masjid kurang, terutama pada waktu Subuh. Lagi pula masyarakat Melayu di kawasan ini minoriti. Sepatutnya tiada surau khas di penempatan bekas anggota Global Ikhwan. Pada waktu solat Zuhur dan Asar, pekerja boleh bersolat di surau kawasan pekerjaan, tetapi azan tidak boleh dikumandangkan. Pada waktu Maghrib dan Isyak, semua pekerja GlSB Holdings diwajibkan mengimarahkan masjid kawasan setempat. Juga amat digalakkan pada waktu Subuh, bawa semua anak  sekali. Hubungan silaturrahim dengan AJK masjid harus menjadi akrab kerana kerap sangat ke masjid, hingga kalau boleh sehingga peringkat dilantik sebagai AJK juga, akibat ukhuwah yang rapat serta saling rindu merindui. Selawat Badawi yang kebiasaannya dikumandangkan setengah jam sebelum Azan juga dilarang dibaca kuat-kuat menggunakan mikrofon, ditakuti didengar masyarakat sekeliling dan mengelirukan mereka. Dengan kata lain, mikrofon di surau penempatan bekas ahli Global Ikhwan sudah sampai masanya disimpan.
image
Selawat Badawi
6) Selain itu ada beberapa istilah yang dilarang digunakan seperti ‘jemaah’ yang digantikan dengan ‘Syarikat’. Perkataan ‘Tuhan’ juga dilarang digunakan, hanya ‘Allah’.
Sumber:

No comments:

Post a Comment