Terima kasih
Tuhan atas segalanya!! Rupanya di sebalik pelbagai tangapan manusia,
Majlis Sambutan Aidil Adha GISB Holding - sekaligus Acara Pelupusan
Bahan Menyalahi Fatwa dapat berjalan lancar pada pagi tadi. Kehadiran
Yang Berbahagia SahibusSaadah Dato' Haji Marzuki Husin, Pengarah Jabatan
Agama Islam Selangor (JAIS) dan para pegawai kanan JAIS serta Ketua
Polis Balai, Balai Polis Rawang, Tuan Inspektor Abdul Raheem Eliyas
mewakili PDRM serta para pegawainya menjadikan majlis tersebut sangat
bermakna.
Rata-rata tetamu
yang hadir mengakui, majlis tersebut di lihat sangat berjaya, lancar dan
tersusun kemas. Tuhanlah yang melakukan semuanya kerana orang tidak
tahu perancangan GISB Holding biasanya mudah dan ringkas. Persiapan bagi
majlis sedemikian tidak perlukan mesyuarat demi mesyuarat, perancangan
demi perancangan berminggu-minggu. Apa yang penting kesatuan hati dan
penyerahan diri kepada Allah SWT untuk mencatur setiap hati yang
terlibat. Hasilnya ialah kesamaan buah fikiran, keserasian cara
bertindak dan ketaatan semua pihak dalam menjayakan hasrat pimpinan.
Kos majlis tadi
pun jika dilihat pada kecanggihan khemah besar yang dipasang, hiasan,
sistem suara, pentas, persembahan Generasi Harapan, set kerusi meja
serta katering yang disediakan menggambarkan besarnya belanja yang GISB
telah keluarkan. Tetapi, harga atau kos sebanyak mana pun tidaklah dapat
dibandingkan dengan 'mahalnya' hakikat majlis tadi di sisi Tuhan dan
orang-orang yang mencari kebenaran.
Berbalik pada
majlis yang bermula agak lewat - 10.30pagi dan berakhir 12.30 tengahari
tadi, ianya menjadi satu majlis kemuncak bagi satu proses yang panjang.
Jika diukur usia jemaah Al-Arqam - seperti yang disebut Dato' Haji
Marzuki - sudah lebih 40 tahun pihak kerajaan memantau pergerakan Darul
Arqam, Rufaqa' dan GISB. Sepanjang tempuh tersebut, pelbagai usaha
dilakukan kerajaan untuk memastikan kewujudan jemaah sebegini memenuhi
inspirasi negara.
Apa yang telah
berlaku selama ini telah menjadi sejarah. Jika sejarahnya selama ini
dianggap titik hitam, maka pengisytiharan dan taubat untuk kembali
kepada kehendak Fatwa oleh GISB, membuka lembaran baru yang diharapkan
dapat membahagiakan semua pihak. Majlis yang dihadiri oleh Dato' Haji
Marzuki dan Tuan Abdul Raheem tadi menjadi penanda aras kesungguhan
kerajaan menyambut hasrat murni GISB yang sekarang diterajui Puan Ibu
Hatijah sendiri.
Pak Lang
ternanti-nanti bagaimana respon semua tamu ketika Puan Ibu Hatijah Aam
tampil ke pentas diiringi Puan Fauziah dan Puan Dr Azalina untuk
berucap. Memang Pak Lang menyaksikan hadirin terpaku mengikuti suara
hati Pengerusi Eksekutif GISB HOLDING itu. Pak Lang sendiri teruja
menyedari format penyampaian yang sedemikian. Ianya adalah luahan
kata-kata yang benar-benar terbit dari hati beliau dan terasa seperti
air sejuk yang membasahi hati-hati yang hadir. Ada kesegaran pada
intipati kata-katanya dan ada ketulusan dalam butir bicaranya.
Puan Ibu Hatijah
memilih berucap dengan formatnya bermunajat kepada Tuhannya. Itulah
luahan hatinya yang sangat menjiwai keagungan dan kebesaran Tuhan maha
pencipta. Format ini menjadikan hati-hati semua yang hadir melhat
persoalan yang diluahkan itu secara mendalam jauh ke hati masing-masing.
Secara fitrah semula jadi, sesiapa pun jika diajak berbicara dengan
Tuhan, dia akan tersentuh dan terasa bagaikan luahan yang didengar,
itulah juga luahan hatinya.
Hasilnya ialah
dewan jadi sunyi dan tenang menghayati butiran kata-kata beliau. Ada
tamu yang tunduk sambil mengesat air mata. Bahkan semuanya terkesan
dengan apa yang Puan Ibu luahkan. Orang tahu bukan mudah mengaku salah,
bukan senang mengaku tersalah dan tersilap tetapi bagi orang yang
mengutamakan Tuhan, hal sebegitu tidaklah sesukar dan sesulit manapun.
Bahkan tidaklah terhina orang yang mengaku salah kerana bukankah hamba
Tuhan itu sentiasa rasa bersalah!! Hamba yang jujur dengan Tuhan akan
selalu menghina diri di depan Tuhannya. Itulah kebahagiaannya.
Orang dunia
melihat ketundukan Puan Ibu dan GISB menerima fatwa sebagai kekalahan
atau menjatuhkan harga diri sedangkan orang-orang Tuhan melihat
sebaliknya. Orang-orang yang dekat dengan Tuhan melihat sesuatu dari
pandangan Tuhan bukannya melihat dari sudut nafsu yang ego dan sombong.
Orang yang tunduk dan merasa hamba, mengaku salah dan berdosa, itulah
nilai hamba di sisi Tuhan.
Kata-kata Dato
Haji Marzuki yang berucap kemudiannya sangat bererti dan berharga. Ia
menjadi penawar yang sangat menginsafkan. Beliau mengingatkan hadirin,
sebagai manusia, kita tidak akan terlepas dari salah dan silap.
Sebaik-baik orang yang tersilap ialah mereka yang bertaubat dan kembali
kepada Allah. Menariknya ucapan beliau kerana penuh dengan nada memberi
dorongan dan pengharapan.
Detik demi detik
yang dilepasi beliau dalam ucapannya adalah berbagai kejutan positif ke
arah terbukanya ruang kerjasama antara JAIS dan GISB HOLDING. Ternyata
beliau sangat terbuka dan menyatakan hal-hal yang senada dengan ucapan
Puan Ibu Hatijah - suatu yang Pak Lang yakin, itulah apa yang ada di
hatinya selama ini terhadap GISB.
Kesimpulannya
majlis tadi berjaya mengikat hati-hati semua yang hadir dalam satu niat
ke arah menjayakan hasrat masyarakat dan negara tercinta. GISB HOLDING,
JAIS dan PDRM - sudah dapat bertemu dalam satu majlis rasmi - suatu yang
sangat mustahil untuk difikirkan akan berlaku tetapi Tuhan telah
lakukannya pada hari ini.
Halangan dan
cabaran dalam perjalanan baru ini pastilah ada. Atas nama keinsafan dan
taubat, Puan Ibu Hatijah telah membawa kami di dalam GISB HOLDING ke
suatu era yang sebegini rupa. Tentulah cabarannya makin hebat dan besar.
Walau bagaimanapun, bukankah kehidupan perjuangan kami di GISB selama
ini sentiasa diulit kesulitan, cabaran dan halangan? Tuhan menghendaki
kami menempuhnya dan merasainya bertahap-tahap.
Jika sebelum ini
dalam kepayahan dan kesulitan - semenjak Abuya meninggal dunia, Puan Ibu
Hatijah sudah membuktikan GISB sudah sampai ke seluruh dunia, bayangkan
situasinya sekarang. Halangan tetaplah ada kerana nafsu syaitan akan
terus berebut untuk menguasai diri. Apa yang penting, semakin lama kita
hidup semakin kita sedar kematian bila-bila masa akan datang menjemput
kita. Kita semakin dekat dengan persoalan Mungkar Nangkir.
Ingatan kepada
kematian sepatutnya menginsafkan kami dalam menghadapi era baru yang
sebegini rupa iaitu bekerjasama dengan pihak yang sebelum ini kami
jauhi!! Semoga masyarakat dapat bersabar dan mendoakan kami untuk
bersama Puan Ibu Hatujah merealisasikan apa yang telah diungkapkannya
tadi. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allah Akbar Walillahil Hamd!!
Referensi:
No comments:
Post a Comment